Bismillahirrahmanirrahim..
Renungkan.
“Hidup adalah ujian, hidup kembarnya ujian, datang dan datang tanpa perhentian, hanya dengan keimanan kau mampu bertahan, jangan kau jatuh hari ini kerana hanya selepas mati baru ujian akan terhenti…”
Maha Suci Allah yang masih mengurniakan kita nikmat udara, oksigen yang kita hirup tiap saat, membolehkan kita sujud lagi menghadapNya. Syukur atas nikmat pendengaran, penglihatan dan pancaindera juga segala puji bagiNya yang Maha Agung atas nikmat Islam dan Iman yang dihadiahkan dalam hati kita, nikmat paling berharga, moga selamanya nikmat iman ini bersama kita. Amin insyaAllah.
Subhanallah, saat ini berasa terpanggil untuk menulis di ruangan ini setelah sekian masa hati terdiam dan jari menjadi kaku, atas desakan rasa dan keadaan yang tidak mengizinkan. Jika diputar kembali waktu bukan tekanan masa yang menjadi puncanya, namun, kelemahan diri yang kurang bijak menangani segala ujian yang mendatang, mungkin juga iman yang lemah mengakibatkan segalanya terasa sukar, bermacam bentuk alasan bisa terungkap tatkala hati tidak mampu dikawal, petanda masih banyak yang perlu dipelajari, masih banyak yang perlu dilalui, masih banyak yang perlu diterokai, iman sangat perlu ditingkatkan dalam hati, sebagai seorang hamba yang pasti kembali..andai suatu tempat istimewa di sisiNya yang dipinta dalam munajat diri.
Lalu, setelah sekian masa, alhamdulillah, ingin saya bingkaikan beberapa bingkisan nasihat yang saya pungut daripada kalam insan-insan yang bergelar sahabat, saudara, keluarga yang sangat dihargai kehadirannya..alhamdulillah, kadang, tatkala ujian datang menduga, pandangan dari sisi positif hanya dapat dilihat, dirungkai dan disingkap apabila kita mula meletakkan redha di puncak kepercayaan paling tinggi dalam hati atas apa yang direncana Ilahi.
Firman Allah swt dalam Al-Quran:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”
(Surah Al-Ankabut:2,3)
Hikmah daripada mereka yang dekat dengan Allah(muqarrabin):
“Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau daripada keduanya, supaya engkau tidak bergantung sesuatu selain Allah.
Allah swt ada janjinya, andai hari ini kesusahan dan ujian menduga, ingatlah..sesungguhnya tiap kesusahan pasti beriringan kemudahan, insyaAllah, janji itu pasti kerana tidak mungkin Allah memungkiri janjiNya. Berbahagialah, kerana bahagia di hari esok pasti lebih lazat berbanding rasa lazat bahagia yang pernah menjadi milik kita suatu ketika sebelumnya.
Firman Allah swt:
“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”
(Surah Al-Insyirah: 5,6)
Renungkan ke dalam diri, tanpa kehadiran rasa perit, sakit, sedih dan pahit, mungkinkah kita mengenal diri, mengenal Al-Khaliq dengan lebih mendalam, menjiwai kehebatan Pencipta..mungkinkah tanpanya, tugu kekuatan diri dapat kita bina dengan utuh, kehadiran rasa itu hakikatnya menambahkan kukuh dan teguh tugu iman di hati..insyaAllah.
Kekuatan tak usah ditunggu, kerana tidak mungkin ia datang bergolek, ia yang bersifat subjektif, perlu dicari, dibina, dibentuk, dan diuji.
Perit dan pahit perjalanan hidup ini adalah kurniaan dan anugerah kerana dengannya kita memungut pengajaran, pelajaran, dan mula membina impian dan azam menuju puncak yang lebih bercahaya, cemerlang.
Usah kita anggap setiap ujian yang hadir sebagai musibah, tetapi anggaplah ia sebagai satu peluang yang Allah hadiahkan untuk kita meniti tangga ke syurgaNya.
Jangan mudah mengalah, jangan cepat menyerah, jangan sesekali terlintas untuk berputus asa daripada rahmat Allah!
Segala yang berlaku di luar kawalan kita, sesuatu yang berlalu menyebabkan hidup terasa sempit bukanlah sebuah KEBETULAN melainkan sebuah PERANCANGAN khusus daripada Allah.
Tidak mungkin Allah swt akan silap dalam perancanganNya..TIDAK MUNGKIN RENCANA ITU HADIR SIA-SIA, kerana ALLAH SENTIASA BERMAKSUD BAIK dalam rencanaNya pada hambaNya..bersyukurlah kerana terpilih mendiami bumi, bergelar hamba yang diberi peluang sujud dan mengenal siapa Dia..percayalah, ujian hakikatnya menjadikan kita lebih akrab dengan Dia, lebih kenal siapa Dia.
Mungkinkahkah sama antara dua insan, seorang yang lemah dan seorang yang kuat..tatkala keduanya menadah tangan memohon kekuatan padaNya..tatkala keduanya mentafsirkan siapa Dia Tuhan yang Maha Kuat, Al-Qawiy..? renung-renungkan, lalu bersyukurlah atas rasa yang hadir.
Sebuah bingkisan kata daripada ayahanda tercinta,
“ Kita secara sedar atau tidak akan selalu melakukan perbandingan dalam hidup. Seandainya tersilap kita membuat perbandingan, pasti dunia ini terasa terlalu sempit dan menyesakkan. Maka berbahagialah mereka yang membandingkan hal-hal keduniaan dengan insan-insan yang berada pada kedudukan yang lebih rendah daripada mereka. Lalu mereka akan berasa sangat bersyukur, malah menjadikan mereka lebih kuat dalam menghadapi ujian hidup. Kekuatan ini semakin mantap jika mereka sedar bahawa Allah swt tidak akan menguji hamba-hambaNya dengan ujian yang tidak mampu ditangani oleh hambaNya. Bukankah Dia, Zat Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang? Apatah lagi buat mereka yang mendambakan redha dalam kehidupan..Bersabar, bertahan dan redhalah dengan ketetapanNya.”
Ujian mungkin hadir sebagai kafarah, atau wasilah meningkatkan darjat, terimalah dengan lapang dada dan penuh syukur.
Akhir kalam, ingatlah, sungguh Dialah yang mengutuskan duka, Dia jualah yang mengirimkan hampa. Terimalah dengan redha, usahakan dengan doa..kembali kepadaNya, kerana hanya Dia punya penawar segala rasa. Yakinlah, ujian tanda kasihNya buatmu, ucapkan Alhamdulillah. J
p/s: terima kasih untuk semua yang mendoakan, sama-sama kita berdoa untuk saudara kita di mana saja mereka berada^^.
mansoura, 12 Muharram 1433H, 07122011, 11.45pm